Cara untuk: mencipta ruang makan impian anda
Dengan sedikit inspirasi, keazaman yang tinggi dan beberapa tong cat, satu pasangan mengubah dinding berwarna putih yang kosong di penjuru pangsapuri sewa mereka yang baharu menjadi ruang makan yang sangat indah – kaya dari segi tekstur dan perincian. Sungguh mengejutkan: melaksanakannya adalah lebih mudah daripada yang anda fikirkan. Lakukannya perlahan-lahan dan dengan teliti, dan anda dapat membuat perkara yang sama di rumah anda! Beginilah caranya:
1: Sediakan penggelek cat
Warna dinding ialah salah satu cara yang paling mudah dan paling berkesan untuk mengubah suasana di ruang anda. Namun dengan berjuta-juta pilihan warna dan reja (cukup untuk membuatkan anda pening!), di manakah harus anda bermula? Petua kami: mula dengan suasana yang anda mahu wujudkan di ruang anda dan perabot yang anda sudah pun ada. Biarkan itu sebagai panduan untuk pilihan warna anda. Misalnya pasangan ini mahu rumah mereka berasa nyaman dan selesa serta bersifat realistik. Berpasangan dengan perabot dan aksesori mereka berwarna hitam dan dibuat daripada gentian semula jadi, mereka memutuskan untuk menggunakan warna coklat yang hangat ini (dicat dalam kemasan suede yang pekat).
2: Kemudian, tambah storan
Percayalah kami: ia akan menjadi lebih mudah untuk mengalihkan meja makan daripada kabinet, almari buku atau saidbod yang besar – jadi tempatkan semua ini dan kukuhkan pada dinding dahulu. Cari tempat yang ia tidak akan menjejaskan ruang, tetapi masih mudah diakses apabila perabot lain disertakan. Dengan koleksi barang-barang kaca dan pinggan mangkuk yang menarik, pasangan ini memilih dua kabinet berpintu kaca yang menyimpan dan mempamerkan barang-barang mereka pada masa yang sama. Bijak, kan? Kombinasi kedua-duanya menghasilkan latar belakang yang menarik perhatian yang benar-benar membuatkan anda terpesona.
Mula dengan suasana yang anda mahu wujudkan di ruang anda dan perabot yang anda sudah pun ada. Biarkan itu sebagai panduan untuk warna dinding anda.”
3: Mari berbual tentang ambal
Mencari ambal yang sesuai untuk ruang makan anda bukanlah sangat sukar, tetapi ada beberapa perkara yang wajar difikirkan. Dari segi saiz, elok pilih yang lebih besar daripada yang lebih kecil. Pastikan kerusi anda tidak tersangkut pada bahagian tepi bila-bila masa seseorang hendak duduk. Teksturnya juga sama penting: ambal pail rendah atau tenunan rata akan memastikan kerusi meja makan anda kurang terheret – dan lebih senang dibersihkan jika makanan terjatuh ke lantai!
4: Set yang benar-benar sesuai dengan anda
Oleh sebab selalu menjadi tuan rumah majlis, meja 8 tempat duduk ini memang wajar. Mungkin sesuatu yang lebih kecil akan lebih sesuai dengan keperluan dan ruang anda? Atau meja yang boleh dipanjangkan untuk memuaskan kedua-dua perkara? Di sini, kerusi berwarna hitam seluruhnya berpasangan indah dengan kaki meja berwarna hitam, tetapi tiada apa-apa yang menghalang anda daripada melakukan gabung padan. Walau bagaimanapun, jika anda lebih suka agar tidak perlu membuat keputusan lain (merancang makan malam sudah pun meletihkan!), maka padanan set ruang makan yang sedia ada ini mungkin dapat menceriakan hari anda.
5: Usah makan dalam gelap
Jangan lupa akan pencahayaan! Lagipun, meja makan yang diterangi dengan baik adalah penting untuk fungsi dan juga suasana. Pasangan ini menggunakan satu lampu pendan yang dibuat daripada buluh, tetapi jangan malu-malu untuk menggunakan lebih daripada satu. Dua atau tiga lampu lebih kecil yang digantungkan pada ketinggian yang berbeza atau sama boleh kelihatan sama hebat.
6: Perkara-perkara kecil yang anda sukai
Sambil kita menghampiri penghujungnya, sekarang masa untuk mengisi jurang dengan item-item hiasan yang lebih kecil yang menunjukkan personaliti anda. Vas, barang-barang kaca dan pinggan mangkuk diletakkan ke dalam kabinet, gambar digantungkan pada dinding, pokok hias rumah dan bunga berada di tempat masing-masing dan sebagainya.
7: Tempat (dan meja) sudah disediakan
Wujudkan suasana di ruang itu dalam setiap perincian: dari dinding hinggalah kelengkapan hidangan. Gelas yang berkilau-kilau, papan hidangan kayu dan pinggan mangkuk bersepuh pasir masih menurut ton warna dan tekstur semula jadi. Ruang dan juga makan malam akhirnya bersedia!