Kunjungan rumah: empat idea tekstil yang mudah untuk disukai

Galeri fabrik bercorak yang dibingkaikan dipamerkan di dinding batu bata dengan bingkai besar berwarna keemasan, tumbuh-tumbuhan gantung dan rak buku rendah.

Kunjungan rumah: empat idea tekstil yang mudah untuk disukai

Tekstil merupakan cara yang pantas, mudah dan tidak mahal untuk membaharui ruang di rumah anda. Gunakannya pada musim ini untuk membawa masuk suasana musim yang penuh bertenaga. Di sini ada empat idea yang menyeronokkan daripada jurugaya hiasan dalaman Ashlyn Gibson untuk merangsang anda!

Bingkaikan kegemaran anda

Seni yang berpatutan harganya bukanlah sekadar melukis pada kertas. Buat koleksi tekstil berbingkai – balutkan jalur fabrik di sekeliling bingkai lama, pasang bahan dalam bingkai baharu dan regangkan tekstil bercorak merentasi kanvas pelukis. Kemudian gantungkannya pada dinding untuk mendapat pameran yang unik. Petua untuk menutup kanvas. Ukur fabrik anda, menambah kedalaman bingkai dengan 3 cm. Lekatkan fabrik pada bingkai menggunakan pita dua muka atau pistol gam.

Sebab saya suka tekstil

“Saya suka warna dan keceriaan tekstil. Saya peminat objek yang menceritakan kisah, dan tekstil mempunyai kisah di sebaliknya. Dahulu saya banyak mengembara, terutamanya di Asia, dan perasan cara orang ramai menggunakan tekstil dengan baik. Skrin fabrik dan langsir Jepun – langsir yang mempunyai belahan yang tergantung pada dinding, di ambang pintu atau untuk membahagikan ruang. Terdapat banyak cara untuk menggunakan fabrik,” kata Ashlyn.

Buat perhiasan gantungan boho yang dicelup ke dalam pewarna

“Ini sungguh mudah namun kelihatan sungguh indah. Saya rasa idea ini hebat untuk menghasilkan perhiasan majlis perkahwinan. Kami mengikat jalur fabrik di sekeliling gelang, kemudian mencelupkannya ke dalam pewarna dan menggantungkannya sehingga kering. Kami mengambil pendekatan yang kasar buatannya tetapi anda boleh menghasilkan produk akhir yang lebih rapi dengan memotong jalur dan bukan mengoyakkannya, serta membasuh fabrik itu sebelum mencelupkannya ke dalam pewarna supaya ia lebih menyerap.”

Ikat dan celup

Untuk membuat perhiasan gantungan gaya boho, dapatkan gelang – gelang sulaman atau gelang hula, seperti yang kami ada di sini. Pilih fabrik untuk menutup gelang itu, koyakkannya menjadi beberapa jalur dan balutkannya di sekeliling gelang itu, bertindih sambil anda melakukannya. Koyakkan fabrik utama anda menjadi beberapa jalur panjang yang nipis. Lipatkan setiap jalur menjadi separuh untuk membuat gelung di satu hujung dan ikat pada gelang anda dengan menyisipkan hujung longgar setiap jalur menerusi gelung itu dan menariknya hingga ketat. Ulang…

“Anda benar-benar dapat mengindahkan sesuatu dengan fabrik. Harganya berpatutan, mudah ditukar dan benar-benar dapat menetapkan suasana di mana-mana ruang.”

Ashlyn Gibson

Kulit buku yang unik

Kulit buku fabrik dapat mengubah buku-buku yang bercampur aduk di atas para anda menjadi pameran yang menarik perhatian, atau tingkatkan buku nota harian menjadi penghargaan parti yang unik untuk diberikan kepada tetamu pada penghujung parti. Atau hanya tambah sentuhan peribadi pada buku yang anda pilih untuk digunakan sebagai jurnal perjalanan atau album gambar percutian anda.

Balutnya

Bentangkan fabrik anda di atas permukaan rata, sebelah luar menghadap ke bawah. Ukur jumlah yang diperlukan untuk membalut buku anda (biarkan ‘kelim’ sebanyak 2 cm di setiap hujung supaya anda dapat memasang fabrik anda di tempatnya). Buka satu kulit rata di atas fabrik dan lipatkan fabrik itu di sekeliling kulit seolah-olah anda membalut hadiah. Lekatkan pita dua muka pada setiap sisi buku tersebut. Untuk kemasan yang lebih rapi, potong bucu menyerong.

Tandakan halaman anda

“Untuk sentuhan tambahan, saya menambahkan penanda buku. Potong fabrik lebih panjang sedikit daripada panjang buku anda. Lipatkan satu hujung dan lekatkan pita dua muka dalam bentuk empat segi padanya. Anda mungkin mahu melekatkan ini pada tulang buku. Buka buku itu dan selitkan hujung penanda buku anda yang mempunyai pita ke dalam celah di bahagian atas tulang buku. Tekannya supaya pita melekat padanya.”

“Ubah katil anda menjadi ruang tidur yang mewah dengan kanopi katil. Menggunakan fabrik berukuran empat meter dengan gelung dijahit di hujungnya, ia boleh dipasang pada cangkuk di siling, kemudian digantungkan ke belakang merentasi siling untuk terurai di dinding belakang katil tersebut. Pasang tiang langsir di dinding dekat dengan siling dan sisipkan fabrik itu menerusinya untuk membuat langsir.”

Ashlyn Gibson

Kami gembira melihat para pelanggan kami menjadi kreatif dengan produk-produk kami. Teruskan! Tetapi perlu diingatkan bahawa dengan meminda atau mengubah suai produk IKEA sehingga ia tidak lagi boleh dijual semula atau digunakan untuk tujuan asalnya, bermakna jaminan komersial IKEA dan hak anda untuk memulangkan produk akan terbatal.